SURAYA YAACOB
Oleh OPAT RATTANACHOT
KULIM 8 September - Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Kedah akan membina dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas
(PAWE) di negeri ini bagi meningkatkan keberkesanan menjaga kebajikan
golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan
Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, setakat ini, Kedah hanya
mempunyai tiga pusat seumpama itu iaitu di Sungai Kob di sini, Sungai
Petani dan Bandar Baharu.
Katanya, penubuhan pusat berkenaan
dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi sebagai pusat sehenti bagi
mengumpul golongan warga emas, di samping memastikan mereka berinteraksi
di antara satu sama lain di situ.
"Setakat ini, seramai 2,300 warga emas
telah mendaftar sebagai ahli di PAWE tersebut. Pusat ini menjalankan
pelbagai aktiviti termasuklah kelas tazkirah mingguan, membaca al-Quran,
memasak dan kraf tangan serta aktiviti pertanian.
"Namun begitu, kita merasakan pusat
seumpama ini perlu diperluaskan ke kawasan lain. Justeru, kerajaan
negeri dengan kerjasama JKM mengambil keputusan menambah dua lagi PAWE
di Pendang dan Alor Setar tidak lama lagi,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas merasmikan Majlis Muhibbah PAWE 2014 peringkat negeri di
Sungai Kob di sini semalam.
Yang hadir sama Pengarah JKM negeri, Md.
Noor Chik; Pegawai Daerah Kulim, Datin Safiah Isa dan Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Nordin Ayon.
Suraya berkata, berdasarkan matlamat
asal, penubuhan PAWE bertujuan sebagai pusat sehenti bagi golongan
anak-anak meninggalkan ibu bapa sementara waktu iaitu ketika mereka
keluar bekerja.
Katanya, dengan kewujudan PAWE, sekali gus dapat mengurangkan budaya anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.
"Berbeza dengan rumah orang tua, PAWE
diwujudkan supaya anak-anak yang keluar bekerja boleh meninggalkan ibu
bapa di pusat tersebut dan mengambilnya semula selepas pulang bertugas.
"Ini bagi mengelakkan warga emas kesunyian ketika tinggal bersendirian di rumah," ujarnya.
Sumber: UTUSAN