Pemeliharaan Hutan Paya Laut

23paya
ALOR SETAR 23 September - Hutan paya laut merupakan salah satu khazanah alam yang sungguh unik dan kaya dengan sumber-sumber semulajadi, di samping mengandungi kepelbagaian biologi di dalamnya.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, hutan paya laut juga turut menyumbangkan faedah-faedah lain yang tidak ternilai seperti kestabilan iklim, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan pengwujudan kawasan rekreasi dan eko-pelancongan serta menjadi kawasan penampan di kawasan pantai sekiranya kejadian malapetaka seperti tsunami.

“Usaha-usaha untuk melindungi dan memelihara khazanah hutan ini perlu diberi keutamaan bagi memastikan peranannya kepada ekonomi dan sosial negara ini dapat terus dikekalkan dan dipergiatkan,” katanya pada majlis perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Flora Di Hutan Paya Laut Merbok yang diadakan di Hotel Tabung Haji.

Menurutnya, sumber hutan paya laut bukan sahaja merangkumi kayu bakau untuk dijadikan arang bahkan kawasan hutan paya laut yang unik ini juga mampu memberi kesan penjanaan pendapatan yang tinggi di dalam sektor eko–pelancongan jika diuruskan dan digunakan secara optimum.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kedah khususnya dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia amnya diharap dapat berganding bahu dalam membantu Kerajaan Negeri Kedah untuk merancang projek-projek berimpak tinggi, khususnya di kawasan hutan paya laut yang boleh menjana pendapatan baru kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Dr. Hj. Abd. Rahman Hj. Abd. Rahim; Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Ku Azmi Ku Aman dan Ketua Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Flora di Hutan Paya Laut Merbok, Profesor Dr. Maketab Mohamed.

Sumber : UMTK