Kerajaan Negeri Bantu 20 Ahli Yayasan Islam Negeri Kedah

23Yayasan
SINTOK 23 September – Kerajaan Negeri akan berusaha mencari jalan membantu kira-kira 20 ahli Yayasan Islam Negeri Kedah yang diberhentikan berikutan cadangan Kerajaan yang mahu menstruktur semula yayasan berkenaan dari segi operasi perniagaan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya akan mencuba membantu sebaik mungkin dengan menempatkan semua yang terbabit dalam pemberhentian itu dalam Kerajaan sendiri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergantung kepada kekosongan yang ada.

“Perkara itu sedang dalam perbincangan secara terperinci dan Kerajaan Negeri akan memperhalusi supaya satu cara penyelesaian terbaik yang boleh diterima semua pihak dapat dicapai dalam masa terdekat. Saya meminta supaya Yayasan Islam Negeri Kedah dibuat penstrukturan semula dalam operasinya dari segi perniagaan kerana kita mahu memastikan hanya perniagaan yang menguntungkan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Demokrasi Di Malaysia’ yang diadakan di Dewan EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pada majlis itu, buku hasil terbitan tiga pensyarah dari universiti berkenaan iaitu Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Abdul Rahman Abdul Aziz dan Muhamed Nor Azman Nordin menghimpunkan tulisan bernas bagi memahami konteks demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Buku berkenaan turut menceritakan mengenai konsep dan makna demokrasi yang menjadi dasar serta tunjang sistem kenegaraan Malaysia bagi memastikan rakyat lebih memahami demokrasi yang bukan sekadar kebebasan semata-mata.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, YB. Dato’ Hj. Ab. Ghaffar A. Tambi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz dan Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Sumber : UMTK