Kajian Terperinci Terhadap Status Peratusan Tanah Rizab Melayu

23kajian
SINTOK 23 September –  Kerajaan Negeri sudah memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah supaya mengadakan satu kajian lebih terperinci mengenai status peratusan tanah rizab Melayu yang masih wujud di negara ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai keluasan sebenar tanah rizab yang ada dan perkara itu sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Perancangan Negeri sebelum ini mengenai berapa keluasan yang masih wujud, berapa peratusannya dan apakah nilainya.

“Saya bangkitkan mengenai apakah nilai tanah yang masih wujud itu kerana kebiasaannya kalau hendak dibangunkan sesuatu projek seperti perumahan atau sebagainya akan berlaku pertukaran status daripada tanah rizab kepada bukan rizab,” kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Demokrasi Di Malaysia’ yang diadakan di Dewan EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurutnya, tanah yang mengalami pertukaran status itu juga walaupun dari segi keluasannya masih sama, namun dari segi nilainya akan berubah. Kerajaan perlu memastikan baki 12 peratus tanah rizab yang masih wujud itu dibangunkan supaya dapat memberi manfaat seadil-adilnya kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, YB. Dato’ Hj. Ab. Ghaffar A. Tambi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz dan Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Sumber : UMTK