Kerajaan Komited Perkasa Hubungan Telekomunikasi Negara

18kerajaan
LANGKAWI 18 September – Kerajaan komited memperkasakan hubungan telekomunikasi kerana pembangunan sesebuah negara itu ada kaitan dengan telekomunikasi seperti enjin dan jentera.

Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, pembangunan sesebuah negara dan kemudahan telekomunikasi saling berkaitan berikutan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia kini semakin meningkat berkali-kali ganda.

“Kadar penembusan jalur lebar di Malaysia adalah 31.7 peratus dan angka terbaru bagi tahun ini sebanyak 67.1 peratus. Hanya 7.9 peratus lagi untuk sampai 75 peratus sasaran menjelang 2015,” katanya ketika berucap merasmikan Inisiatif Pemerkasaan Komunikasi Langkawi dan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, banyak kajian dan laporan termasuk yang diterbitkan oleh kesatuan teknologi antarabangsa menyatakan pelaburan untuk membangunkan infrastruktur dapat meningkatkan produktiviti dan memacu pembangunan.

“Infrastruktur telekomunikasi yang baik juga mencetuskan transformasi, meningkatkan kebolehan rakyat, menjana inovasi, melancarkan urusan dan meluaskan kerjasama,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor yang mewakili Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber : UMTK