GPMS Sedia Kerjasama Dengan Lebih Banyak Universiti

15GPMS
TAJUL Urus Mat Zain melepas burung merbuk dari dalam sangkar sempena Pelancaran Program Motivasi Perdana GPMS Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini

SUNGAI PETANI 16 September - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah akan terus bekerjasama dengan universiti tempatan untuk menjayakan pelbagai program pendidikan demi membantu pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, setakat ini Universiti Utara Malaysia (UUM), Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi kerjasama.

"Usaha dilakukan selama ini banyak memberi manfaat dan dapat menggembirakan ramai ibu bapa, khususnya di negeri Kedah," katanya sempena Majlis Pelancaran Program Motivasi GPMS 2014 Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di sini, baru-baru ini.

Program tersebut yang disertai oleh 327 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Shamsul Bahar turut melahirkan rasa gembira kepada agensi dan syarikat termasuk Petronas Chemical Fertilizer Sdn Bhd, My-Sutera Sdn Bhd. (Canggih), Bina Darulaman Berhad, Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri dan Era Edar Marketing yang turut memberi kerjasama menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Tajul Urus dalam ucapannya berkata, tanpa ilmu secukupnya, usaha membawa orang Melayu maju ke tahap lebih sempurna tidak akan kesampaian.

"Melalui ilmu secukupnya, mereka boleh menjadi lebih maju dan terkenal di seluruh dunia," katanya.
Beliau meminta pelajar Melayu supaya tidak terjebak dengan minuman keras, berjudi dan merokok kerana amalan buruk itu boleh merosak diri generasi akan datang.

Pengetua sekolah berkenaan, Nik Rahimah Nik Wan pula berkata, langkah diambil oleh GPMS Kedah untuk melancarkan program peringkat negeri di SMK Merbok, tentu memberi kebaikkan kepada calon-calonnya SPM nanti.

"Mereka juga berpeluang membuat pelbagai pertanyaan kepada penceramah dan program begini dengan kerjasama Pejabat Pelajaran daerah Kuala Muda/Yan dan pengurusan universiti boleh merapatkan hubungan baik antara satu sama lain," katanya.

Sumber : UTUSAN