Kempen 'Anti Litter' Sedarkan Masyarakat Jaga Kebersihan

25kempen
LANGKAWI 25 September – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menganjurkan kempen ‘Anti Litter’ untuk mengubah minda masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan di pulau bersejarah ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ab. Rahim Md. Noor berkata, kempen berkenaan adalah usaha berterusan pihaknya ke arah menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran terutama di kawasan tumpuan pelancong.

“Usaha ini akan berterusan bagi menjadikan Langkawi sebagai pulau yang terbersih sejajar dengan matlamat Langkawi bebas sampah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan di Laman Padi Village Pantai Cenang.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan berkata, kempen kesedaran itu bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, malah memerlukan penglibatan masyarakat.

“Usaha murni dalam mengubah minda masyarakat untuk menjadikan amalan menjaga kebersihan adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama agar dapat melahirkan masyarakat yang maju dan menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup kita,” ujarnya.

Sumber : UMTK