Tapak Bandar Sains Dan Perubatan Kedah Dikenalpasti

KULIM 25 September - Kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan Bandar Sains dan Perubatan Kedah di Bandar Baharu dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Tinggi negeri, Norsabrina Mohd. Noor berkata, projek itu bertujuan menggalakkan pelaburan tempatan dan asing dalam bidang sains dan perubatan.

Selain itu kata beliau, ia juga memastikan proses pembangunan dapat dikembangkan ke kawasan Bandar Baharu yang merupakan daerah paling selatan di negeri itu.

"Projek ini diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir baru-baru ini. Buat masa ini tapak tanah telah dikenal pasti dan kita juga giat mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain utama dalam industri sains dan perubatan untuk menanam modal di situ.

"Setakat ini juga beberapa syarikat dari Eropah dan Jerman telah menunjukkan minat untuk melabur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Inovasi Uereka-EIE 2014 di Dewan Besar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini semalam.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, jika tiada sebarang masalah, projek Bandar Sains dan Perubatan Kedah itu akan dimulakan dalam tempoh setahun dari sekarang.

"Pembangunan menyeluruh projek ini dijangka memakan masa lima hingga enam tahun. Apabila siap kelak, ia bukan sahaja dapat memacu pembangunan kawasan selatan Kedah malah meningkatkan lagi peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga optimis Kulim dan Bandar Baharu akan berkembang pesat ekoran beberapa perancangan rapi telah dibuat.

Sumber : UTUSAN