Kemas Kedah Disaran Lakukan Transformasi

SIK 15 September - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Kedah disaran membuat transformasi menarik dengan memberi bimbingan dan latihan secukupnya kepada tenaga pengajar kerana ia berupaya melahirkan lebih ramai pelajar cerdik di samping mempunyai idea baru.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, usaha itu jika dilakukan secara serius ia tidak boleh lagi diperkotak-katikkan lagi oleh mana-mana pihak dalam menjayakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak.

"Bukan mudah untuk melakukan tugas itu tanpa kerjasama sepenuhnya, mereka yang bertugas di setiap daerah perlu menyokong dan hasilnya boleh dinikmati bersama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menutup Hari Potensi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas 2014 Peringkat Negeri Kedah di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik di sini, kelmarin.

Seramai 870 kanak-kanak Tabika di 15 Parlimen seluruh negeri Kedah hadir bagi memeriahkan program itu.

Menurut Mohd. Tajudin, usaha membimbing kanak-kanak perlu dimula di peringkat awal lagi selaras dengan peribahasa Melayu iaitu 'Melentur buluh biarlah daripada rebungnya'.

Beliau juga memberitahu, pihaknya bakal menyerah pelan strategi pembangunan, termasuk usaha menangani masalah kemiskinan penduduk di luar bandar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 21 September ini.

"Apa yang diharap melalui pelan bakal diperkenalkan itu sedikit sebanyak boleh menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh kalangan peniaga, petani dan lain-lain di negeri ini," katanya.

Sumber : UTUSAN