Tradewinds Majukan Kampung Nelayan

27tradewinds
LANGKAWI 27 Ogos – Tradewinds International Sdn Bhd melancarkan projek pembangunan hartanah bercampur mewah dikenali Nelayan Pier, di sini dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM60 juta. Projek itu menawarkan gaya hidup moden dan berprestij untuk manfaat masyarakat nelayan itu dibangunkan di tapak seluas 2.8 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2016.

Ketua Pegawai Operasi Perdana Quay Development, Muhd Najib Mohd Rawi berkata, projek yang bermula akhir bulan Ogos akan memberi tumpuan terhadap pembangunan perkampungan tradisional nelayan Melayu dalam suasana moden dan kontemporari.

“Nelayan Pier adalah satu komponen utama daripada pembangunan bercampur Perdana Quay bernilai RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun di kawasan seluas 97.12 hektar di Barat Laut Langkawi. Daripada kos keseluruhan itu, sejumlah RM60 juta diperuntukkan untuk projek Nelayan Pier,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek itu di Telaga Habour Park, di sini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid.

Muhd Najib berkata, projek yang mengambil contoh Fremantle’s Markets di Australia itu merangkumi pembinaan laguna dan jeti pendaratan ikan yang memuatkan kira-kira 60 sampan pada satu masa. Selain itu, projek berkenaan turut memberi fokus kepada pembinaan pasar basah moden bagi membolehkan nelayan memasarkan hasil tangkapan yang segar, restoran dan perkampungan budaya serta kraf.

“Kami juga akan membina rumah sesuai untuk nelayan mengadakan demonstrasi membaiki bot dan pukat kepada pelancong sebagai aktiviti alternatif pada musim tengkujuh. Projek Nelayan Pier yang serba mewah itu pasti akan membawa manfaat besar dari segi ekonomi kepada kira-kira 60 masyarakat nelayan di kawasan Pantai Kok,” ujarnya.

Sementara itu, YB. Dato’ Mohd Rawi berkata, Kerajaan Negeri yakin projek itu akan memberi kesan kepada jumlah kemasukan pelancong asing khususnya dari China, Singapura dan Asia Barat.

Tambahnya, matlamat Kerajaan ialah memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam menikmati kemakmuran baru yang wujud di Langkawi dan dalam hal ini, kita gembira dengan komitmen Tradewinds.

Sumber : UMTK