Sejarah Negara Perlu Dijadikan Inspirasi Bagi Pembangunan

25sejarah

ALOR SETAR 25 Ogos - Sejarah negara ini perlu dikaji dengan mendalam dan kandungannya harus menjadi inspirasi bagi pembangunan dalam semua bidang, misalnya seni bina, kesenian, pendidikan, sukan, sains dan kejuruteraan.

Timbalan Perdana Menteri, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berkata pemodenan harus dimanfaatkan sebagai faktor pendorong bagi memastikan 'sejarah' menjadi satu disiplin yang kekal relevan, sekalipun tidak menunjukkan peningkatan dalam nilai dan permintaan.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan dan Naib Presiden Persatuan Sejarah Malaysia berkata, terdapat keperluan menyemak semula dan mengorientasi kaedah pedagogi subjek itu supaya menjadi suatu 'subjek hidup' melalui pendekatan yang memberi penekanan terhadap kenyataan hebat bahawa 'masa depan terletak pada masa lampau'.

"Walaupun sejarah kini menjadi mata pelajaran wajib pelajar sains sosial namun ahli sejarah seringkali mengajar subjek sejarah sebagai subjek 'masa lampau', tentang 'masa lampau' dan bagi 'masa lampau'.

"Natijahnya, sejarah tidak dianggap sebagai mempunyai nilai dalam masyarakat masa kini yang pantas bergerak, dinamik dan bertenaga. Oleh itu, para pelajar misalnya, tidak nampak 'masa depan' subjek itu," katanya ketika merasmikan Persidangan Ke-23 Persatuan Ahli Sejarah Asia Antarabangsa (IAHA 2014) di Hotel Tabung Haji, di sini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, universiti mungkin perlu mengkaji langkah menerapkan program yang akan membolehkan pelajar dan masyarakat umum memahami serta menghargai sejarah.

Ini, katanya, sama ada dengan pengukuhan dan peningkatan program sains sosial serta seni liberal yang sedia ada atau memperkenalkan program baharu yang mempunyai kaitan, misalnya falsafah.

Persidangan lima hari yang bermula dari 23 hingga 27 Ogos 2014 itu dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Persatuan Sejarah Malaysia. Antara peserta yang menyertai persidangan itu terdiri daripada ahli sejarah dari Brazil, Brunei, Bangladesh, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Jepun.

Sumber : UMTK