Pasukan Bola Sepak Kedah Kekal Komitmen

27bola
ALOR SETAR 27 Ogos – Pasukan bola sepak Kedah perlu mengekalkan komitmen semangat berpasukan yang ditunjukkan semasa menentang Sarawak dan menang 2-1 dalam perlawanan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, semua pemain menunjukkan semangat kerjasama dan kesukanan yang tinggi ketika perlawanan berkenaan.

“Saya ucap tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah yang menundukkan Sarawak 2-1 di Stadium Negeri Sarawak. Ini satu petanda yang kita bukanlah pasukan belasahan walaupun kita bukan berada di Liga Super.
“Apa yang saya lihat pada perlawanan itu, penyerang sehingga penjaga gol melakukan kebangkitan kombinasi dan menunjukkan kesungguhan sehingga mendapat hasil paling baik walaupun orang kata sukar untuk menang di Sarawak tetapi Kedah boleh,” ujarnya.

Beliau berharap agar momentum itu dapat dikekalkan. Pasukan Kedah masih lagi mempunyai peluang untuk layak ke pusingan suku akhir sekiranya momentum yang dilihat pada perlawanan menentang Sarawak dapat diteruskan.

Sebelum ini, dalam perlawanan kumpulan B, Sarawak menentang Kedah di Stadium Negeri Sarawak menyaksikan Kedah berjaya mengalahkan Sarawak dengan jaringan gol 2-1 sekaligus membuka ruang untuk terus mara ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, YB. Aminuddin juga mengharapkan pasukan bola sepak Kedah akan terus bangkit dan menjadi sinonim dalam jiwa rakyat di negeri ini.

“Kita mampu melangkah lebih jauh lagi dalam siri Piala Malaysia pada kali ini. Kita nak lihat bola sepak di Negeri Kedah sinonim dengan rakyat. Apa yang penting, kita juga nak lihat kebangkitan semula pasukan bola sepak Kedah,” ujarnya.

Sumber : UMTK