Sultan Kedah Mahu Semua Pihak Laksana Peranan Majukan Negeri

11majuTunku Sallehuddin Sultan Badlishah (empat dari kanan) dan Mukhriz Mahathir (lima dari kiri) bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah selepas majlis perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darulaman, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 11 Ogos - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah agar semua pihak di negeri ini melaksanakan peranan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan agar kemajuan dan kemakmuran dapat dibina secara inklusif.

Tuanku Abdul Halim bertitah, pembangunan bagi sesebuah ne-geri mesti bersifat lestari dan mapan, sebab itu baginda mahu kerajaan negeri membuat perancangan jangka panjang untuk Kedah.

"Jangan terlalu terikat dengan keberhasilan bersifat jangka pendek semata-mata kerana jangka panjang adalah lebih penting bagi masa depan anak cucu kita.

"Beta minta ahli-ahli Dewan agar melihat perkara ini dengan lebih serius. Beta mahu kerajaan negeri tidak terlalu memikirkan sangat kritikan tentang keberhasilan jangka pendek yang diinginkan oleh sesetengah pihak tetapi terus berpegang kepada pesanan beta ini," titah baginda.

Titah baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Yang turut berangkat Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tuanku Abdul Halim seterusnya bertitah, tugas sesebuah kerajaan bukan hanya untuk meraih populariti dalam tempoh lima tahun semata-mata.

"Beta yakin kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar akan mampu menggalas tanggungjawab ini dengan penuh ikhlas dan berkesan.

"Beta juga mencadangkan agar pentadbiran negeri melaksanakan secara bijaksana segala rancangannya berpandukan prinsip kemakmuran dan keselesaan rakyat terutama dalam kalangan mereka yang kurang upaya, tidak berkemampuan dan tercicir daripada arus pembangunan," titah Sultan Kedah.

Sumber:Utusan