ALOR
SETAR 7 Ogos – Kurang penekanan terhadap subjek sejarah menjadi antara
faktor generasi muda kurang memahami erti kemerdekaan sebenar hingga
sanggup menghina Institusi Raja-Raja Melayu terutamanya Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha
Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali
berkata, rakyat sepatutnya perlu berterima kasih kepada institusi raja
di negara ini kerana memainkan peranan penting dari zaman dahulu hingga
sekarang dalam memberi kemerdekaan kepada negara serta wajar dihormati.
“Saya
mewakili Kerajaan Negeri, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Alumni
Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung
Malaysia Cawangan Kedah amat dukacita dan kecewa dengan tindakan pemilik
akaun Facebook Chandra Lawan Tetap Lawan yang memuat naik gambar
kemalangan dengan suntingan wajah mangsa wajah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong.
“Tindakan menghina
itu sangat keterlaluan. Kita gesa supaya siasatan segera dilakukan
dengan mengambil tindakan tegas membawa pesalah ke muka pengadilan
supaya dapat memberi pengajaran kepada orang lain,” katanya.
Beliau
memberitahu, seolah-olah sudah menjadi satu trend sekarang orang boleh
menghina orang lain dan menyelamatkan diri dengan membuat permohonan
maaf atau memberi alasan akuan berkenaan adalah palsu.
“Kita
minta supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
menggunakan sepenuhnya kepakaran mereka untuk menyekat penularan budaya
tidak sihat ini. SKMM selalu kata mereka ada kepakaran untuk kesan
sesuatu kes melibatkan laman blog dan Facebook tetapi sejauh mana
kepakaran yang mereka ada?
“Jika mahu
menghentikan tindakan seperti ini, pihak berkuasa perlu membuat sesuatu
supaya orang lain tidak ambil kesempatan dan tindakan menghina Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini paling klimaks maksima orang
menguji kedaulatan institusi diraja dan perbuatan itu sudah melampaui
batasan,” ujarnya.
Menurutnya,
walaupun negara ini terkelompok dalam kalangan negara membangun, namun
kebebasan bersuara tetap ada hadnya serta tidak boleh menggugat
keselamatan negara.
“Jika isu seperti
ini tidak diselesaikan sepenuhnya akan mewujudkan semangat benci antara
kaumseperti api dalam sekam terus menyala. Masyarakat harus faham dan
terima benda yang tidak sepatutnya disentuh seperti institusi raja dan
agama perlu dipelihara hingga bila-bila.
“Hukuman
terhadap pesalah amat penting untuk jadi pengajaran serta memelihara
keharmonian kerana bukan semua orang boleh ikut saranan saling
menghormati antara satu sama lain yang diberikan dengan sebaiknya,”
katanya.
Dalam pada itu, satu laporan
polis turut dibuat pihaknya dan mereka akan terus memberi ikrar taat
setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Sumber:UMTK