Siasat Dalang Baja Tiruan

7baja
ALOR SETAR 7 Ogos – Peneroka Felda yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pembungkusan dan pemprosesan baja sawit dipercayai tiruan diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, beliau memandang serius masalah tersebut kerana ada dakwaan mengatakan ia melibatkan baja bersubsidi Kerajaan.

“Saya difahamkan kegiatan itu berlaku di Kedah, tetapi siasatan awal mendapati perkara itu tiada.

“Sekiranya ada individu yang mengetahui mengenai kegiatan itu, sila laporkan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media massa berhubung kebanyakan peneroka Felda di sekitar negeri ini mendakwa mengalami kerugian ribuan ringgit selepas terpedaya membeli bungkusan baja dipercayai tiruan.

Katanya, identiti mereka yang menyalurkan maklumat berkenaan juga akan dirahsiakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Sehingga kini, saya belum dapat maklumat mengatakan ada ‘orang dalam’ yang terlibat dengan kegiatan ini,” ujarnya.

Menurut laporan itu, bungkusan baja yang menyerupai bungkusan asli itu juga dijual pada harga 20 peratus lebih murah berbanding harga baja asli.

Sumber:UMTK