Realisasi Hasrat Tahun Melawat Kedah 2016

7melawat
ALOR SETAR 7 Ogos – Kerajaan Negeri bercadang menjadikan 2016 sebagai Tahun Melawat Kedah bagi memberi kesinambungan kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Festival 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, pihaknya kini dalam perbincangan  bersama Kementerian Pelancongan supaya cadangan ini dapat direalisasikan.

“Kita ada setahun lebih lagi untuk mempersiapkan dan memperkemaskan agenda ke arah Tahun Melawat Kedah 2016 dan kerjasama antara Kementerian Pelancongan akan menguatkan lagi azam kita untuk jadikan Kedah serta Langkawi sebagai satu destinasi pelancongan ternama,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Kedah ini, pelbagai acara dan aktiviti yang melibatkan pelancong diatur dengan teliti.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan melihat kembali semua perancangan supaya ia bakal menjadi kenyataan.

“Kemasukan pelancong ke Kedah sekitar lima juta orang dan hampir 3.06 juta daripada jumlah itu adalah pelancong yang mengunjungi Langkawi di samping penjanaan sumber ekonomi melalui pelancongan di Langkawi hampir mencecah RM3 bilion,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Industri di Kementerian Pelancongan, Rashidi Hasbullah berkata, bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Kedah, pihak kementerian memberi peruntukan sebanyak RM14.28 juta.

“Ini melibatkan 27 projek pembangunan pelancongan di seluruh Kedah termasuk lapan projek di Langkawi yang bernilai RM4.022 juta. Ia diperuntukkan bagi kerja menaiktarafkan jalan, papan tanda dan inap desa.

“Diharapkan ia akan terus merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan Kedah dan kementerian memberi fokus utama terhadap Langkawi sebagai antara destinasi pelancongan terkenal dunia dan mampu menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sumber:UMTK