Kibarkan Jalur Gemilang Mulai Sekarang Semarak Patriotisme

19jalur
ALOR SETAR 19 Ogos - Seluruh rakyat negeri ini disarankan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kenderaan masing-masing bermula daripada sekarang bagi menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, aktiviti mengibarkan bendera kebangsaan dengan cara yang kreatif akan dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.

“Sebagai rakyat di sebuah negara merdeka, kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang dinikmati sekarang dan disebabkan itu kita perlu mengibarkan Jalur Gemilang untuk memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan ini.

“Kita juga harus memastikan Jalur Gemilang yang dipasang berada dalam keadaan yang baik sebagai tanda kecintaan dan penghormatan kepada tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Perkarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, Jalan Kuala Kedah, di sini.

Menurutnya, orang ramai juga diharap tidak hanya menanti mereka akan diberikan Jalur Gemilang secara percuma, sebaliknya mengambil inisiatif membelinya sendiri atas dasar semangat cintakan negara.

Sumber : UMTK