SUNGAI PETANI 19 Ogos - Sebanyak 90 nelayan sungai dari beberapa kampung di daerah Kuala Muda dekat sini menerima bantuan tangkul ketam sempena Program Nelayan Mengubah Nasib 2014 anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Merbok baru-baru ini.
Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Merbok, Dr. Ismail Daut dalam majlis di Bandar Laguna Merbok di sini baru-baru ini.
Urus setia program, Noor Helmi Mohd Noor Lajis berkata, setiap nelayan terbabit menerima lebih 20 tangkul ketam dan melalui kelengkapan itu boleh menambah pendapatan hasil kerja menangkap ketam di kawasan hutan nipah.
"Ramai dalam kalangan nelayan sungai di kawasan ini mencari ketam nipah sebagai pendapatan bulanan.
"Bagi meringankan kos sara hidup mereka ketika ini, kita ambil inisiatif dengan menghulurkan bantuan berupa tangkul ketam,'' katanya.
Seorang penerima bantuan, Ismail Hamid, 60, dari Kampung Pengkalan Langgar berkata, dia melakukan kerja menangkap ketam nipah sejak 20 tahun lalu.
"Seronok bila dapat ketam banyak untuk dijual kepada peraih tempatan, bagaimanapun kerjaya ini juga mencabar," katanya.
Mohd. Zahir Abdul Ghani, 41, dari Kampung Teluk Che Lela berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan bagi membantu nelayan sungai dengan menghulur bantuan tersebut adalah baik sekali.
Menurutnya, ketam nipah dijual mengikut saiz antara RM20 hingga RM30 sekilogram.
Harizan Ismail, 45, dari Kampung Sungai Gelam berkata, nelayan turun menahan tangkul ketam sebelum air pasang.
"Pendapatan daripada kerjaya ini tidak menentu, walaupun bagaimanapun, boleh mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan," katanya.
Sumber : UTUSAN