Tiga Wakil Kelab Putera 1Malaysia Memasuki Gaza

19gaza
ALOR SETAR 19 Ogos - Tiga wakil misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza selamat memasuki wilayah Palestin yang menjadi sasaran serangan Israel melalui pintu sempadan Rafah.

Mereka berbuat demikian pada kira-kira 10 pagi waktu tempatan iaitu tiga petang waktu Malaysia pada 18 Ogos 2014.

Maklumat itu disahkan oleh Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Dato’ Mohd Farid Hassan.

Beliau berkata, pergerakan mereka dari Qantara menuju ke Rafah pada 17 Ogos 2014 menggunakan kereta perisai jenis Humvee turut diiringi dua kereta perisai berantai tentera Mesir.

Kumpulan itu merangkumi Presiden Kelab Putera 1Malaysia dan ketua misi berkenaan, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Baling bersama Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari serta Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha bertolak dari Qantara pada jam 2.30 petang pada 17 Ogos 2014.

78 sukarelawan lain tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Rafah atas faktor keselamatan dan diarahkan pulang ke Kaherah, Mesir.

Arahan itu diberikan komander pos kawalan tentera di Qantara yang terletak berhampiran Terusan Suez, selepas kira-kira lima jam konvoi berkenaan terkandas dan perbincangan diadakan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam bergerak dari Qantara, ketiga-tiga wakil misi berkenaan terpaksa berhenti dan bermalam di Al-Arish pada hari sama kerana dilaporkan berlaku kejadian tembak-menembak sebelumk dapat meneruskan perjalanan.

Misi yang turut disertai angota Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu merancang mengagihkan kira-kira 5,000 kotak bekalan makanan kepada 25,000 warga Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Dilaporkan hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan rejim Zionis di Gaza sejak 8 Julai 2014.

Sumber : UMTK