ALOR
SETAR 14 Ogos - Usaha kerajaan negeri mengorak langkah untuk berdikari
tanpa terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan membuahkan
hasil termasuk dalam meningkat pelaburan pelbagai bidang penting.
Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri turut
merancang untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur, sumber manusia
dan juga industri kecil dan sederhana.
Katanya,
dari segi infrastruktur, kerajaan negeri dan agensi Kerajaan
Persekutuan telah meningkatkan perbelanjaan untuk menarik lebih banyak
pelaburan domestik dan asing datang beroperasi di Kedah.
"Contohnya,
perbelanjaan berjumlah hampir RM100 juta untuk pembangunan zon industri
fasa ke-4 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) kini hampir siap.
"Selain
itu, usaha kerajaan negeri telah membuahkan hasil apabila nilai
pelaburan domestik dan asing pada suku pertama 2014 di Kedah bernilai
RM4 bilion. Ini mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan berpendapatan
sederhana dan tinggi," katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Mengulas
lanjut Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan
penubuhan Taman Sains dan Teknologi Kedah dengan meluluskan sebidang
tanah seluas 720 hektar di Bukit Kayu Hitam untuk tujuan ini.
"Di
sini, penekanan khas diberikan kepada pembangunan industri dan
perkhidmatan sokongan mengikut kluster-kluster tertentu. Lokasi
strategiknya yang bersempadan dengan Thailand merupakan satu kelebihan
yang menarik pelabur.
"Satu
lagi inisiatif kerajaan negeri adalah membangunkan bandar sains
perubatan Kedah iaitu Kedah Medical Science City, di sebidang tanah
seluas 264 hektar di Bandar Baharu. Kluster ini pula mengambil
kesempatan ke atas industri elektronik dan elektrikal yang sedia wujud
di kawasan sekelilingnya," kata beliau.
Tambah
beliau, selaras dengan akujanji kerajaan dalam pilihan raya yang lepas,
pembinaan rumah-rumah mampu milik dan kos rendah menjadi tumpuan utama
perancangan dan pembangunan kerajaan negeri demi keselesaan rakyat.
"Menyedari
hakikat ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak-tapak milik
individu atau kerajaan yang bersesuaian untuk membangunkan tidak kurang
daripada 6,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah setahun, setiap
tahun, sehingga tahun 2018.
"Skim
perumahan rumah mampu milik, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan
Program Perumahan Rakyat akan terlaksana melalui dasar kerajaan negeri
untuk memastikan setiap keluarga memiliki sebuah rumah," katanya.
Katanya
lagi, Kedah juga tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan melibatkan
prasarana dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), seiring
dengan tuntutan terhadap kemudahan capaian komunikasi jalur lebar di
bandar dan luar bandar.
"Untuk
tujuan itu, kerajaan telah membina sebanyak 33 Pusat Internet
1Malaysia, tujuh pusat Jalur Lebar Komuniti, 17 Perpustakaan Jalur
Lebar, 253 kampung tanpa wayar dan 290 lokasi Projek WiFi 1Malaysia.
"Walaupun kita akui terdapat sedikit masalah penyelenggaraan di sana sini, tetapi kerajaan negeri sedang mengatasinya," katanya.
Katanya,
kerajaan negeri mengambil iktibar daripada kemusnahan harta benda dan
hasil pertanian akibat bencana banjir yang semakin menjadi-jadi
kebelakangan ini dengan menjadikan projek rancangan tebatan banjir salah
satu agenda utama.
Persidangan yang berakhir hampir pukul 12 tengah malam itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Sumber : UTUSAN