Mesti Berani Berubah – MB Kedah

14Berani Berubah
ALOR SETAR 14 Ogos – Golongan belia di negeri ini diminta berani melakukan perubahan dan transformasi yang lebih efisien untuk muncul sebagai golongan berilmu pengetahuan tinggi supaya mampu mengawal keadaan dan tidak terlalu terikut-ikut dengan trend atau pengaruh luar.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, dalam mencapai sasaran itu, Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pembangunan insan sebagai antara strategi memajukan Kedah.

“Insan yang ingin dibentuk ialah mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi, beretika, terlatih serta mempunyai minda kelas pertama. Belia dan beliawanis Kedah ini bukan sahaja penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan besar dalam menjamin kesejahteraan dan meningkatkan daya saing Kedah ke peringkat global,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kewangan kepada pertubuhan dan persatuan belia Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada 461 pertubuhan belia yang dikenal pasti dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di mana setiap pertubuhan menerima sebanyak RM2,000.

Penyampaian bantuan kewangan kepada pertubuhan belia Kedah merupakan antara janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menteri Besar berkata, golongan belia Kedah diminta bersama mendukung hasrat Kerajaan melahirkan insan yang unggul dan cemerlang.

“Apabila menyentuh soal pembangunan insan, sudah pasti Kerajaan menekankan kepada aspek melahirkan generasi pelapis yang mempunyai minda kelas pertama dan berpegang teguh kepada agama,” ujarnya.

Sumber : UMTK