SUNGAI PETANI 21 Ogos – Sebanyak 90
nelayan sungai dari beberapa kampung di Daerah Kuala Muda menerima
bantuan tangkul ketam sempena Program Nelayan Mengubah Nasib 2014
anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Merbok.
Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Merbok, YB. Dr. Ismail Daut yang diadakan di Bandar Laguna Merbok, di sini.
Urusetia program, Noor Helmi Mohd Noor
Lajis berkata, setiap nelayan terbabit menerima lebih 20 tangkul ketam
dan melalui kelengkapan itu boleh menambah pendapatan hasil kerja
menangkap ketam di kawasan hutan nipah.
“Ramai dalam kalangan nelayan sungai di
kawasan ini mencari ketam nipah sebagai pendapatan bulanan. Bagi
meringankan kos sara hidup mereka ketika ini, kita ambil inisiatif
dengan menghulurkan bantuan berupa tangkul ketam,” ujarnya.
Seorang penerima bantuan, Ismail Hamid,
60 tahun dari Kampung Pengkalan Langgar berkata, dia melakukan kerja
menangkap ketam nipah sejak 20 tahun lalu.
“Seronok bila dapat ketam banyak untuk dijual kepada peraih tempatan, bagaimanapun kerjaya ini juga mencabar,” katanya.
Mohd Zahir Abdul Ghani, 41 tahun dari
Kampung Teluk Che Lela berkata, langkah diambil oleh pihak berkenaan
bagi membantu nelayan sungai dengan menghulur bantuan tersebut adalah
baik sekali.
Menurutnya, ketam nipah dijual mengikut saiz antara RM20 hingga RM30 sekilogram.
Harizan Ismail, 45 tahun dari Kampung Sungai Gelam berkata, nelayan turun menahan tangkul ketam sebelum air pasang.
“Pendapatan daripada kerjaya ini tidak menentu. Walaubagaimanapun, boleh mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan,” katanya.
Sumber : UMTK