27 Hutan Lipur Belum Diwartakan


21hutan
ALOR SETAR 21 Ogos – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Kedah (PAC) mahu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah memberi keutamaan kepada proses mewartakan kesemua 27 hutan lipur di negeri ini berikutan belum ada yang diwartakan sejak 1976.

Pengerusinya, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, buat masa ini, lapan hutan lipur sedang dalam proses mendapatkan surat pewartaan yang dijangka diperoleh selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Lapan kawasan terbabit ialah Hutan Lipur Bukit Wang, Hutan Lipur Puncak Janing, Hutan Lipur Sungai Rambai, Hutan Lipur Sungai Teroi, Hutan Lipur Tupah, Hutan Lipur Lata Mengkuang, Hutan Lipur Lata Bayu dan Hutan Lipur Ulu Paip,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, proses pewartaan bagi baki 19 hutan lipur akan dilakukan secara berperingkat sejurus selesai fasa pertama ini.

“Keutamaan perlu diberikan kepada perkara ini sebelum dibuat laporan audit seterusnya. Kesemua 27 kawasan hutan lipur perlu diwartakan untuk memudahkan penggunaan termasuk penyediaan bajet dan perjanjian,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebanyak lapan hutan lipur dikenal pasti ditutup di negeri ini atas faktor keselamatan pengunjung, jalan perhubungan kurang memuaskan, bilangan pengunjung berkurangan, malapnya cirri-ciri tarikan utama serta peruntukan tahunan yang semakin berkurangan.

“Lapan hutan lipur ini ialah Hutan Lipur Pedu yang berada pada tahap keselamatan yang rendah, Hutan Lipur Lata Hujan Lebat yang merupakan kawasan curam dan aspek keselamatan, Hutan Lipur Lata Lembu dan Hutan Lipur Durian Perangin yang kemudahannya tidak lengkap, Hutan Lipur Sungai Kunyit dan Hutan Lipur Sungai Badak yang merupakan jalan perhubungan, Hutan Lipur Gurun Kuari yang merupakan lubuk yang dalam serta Hutan Lipur Lubuk Semilang yang kemudahannya tidak lengkap,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, Jabatan Perhutanan perlu melakukan tindakan segera supaya hutan lipur berkenaan tidak menjadi projek gajah putih.

“Laporan Ketua Audit ada menyebut kemudahan di hutan lipur terbiar dan tidak diguna pakai seperti dirancang. Sementara menunggu penilaian audit seterusnya, Unit Integriti akan buat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PAC turut menasihatkan Kerajaan Negeri menguatkuasakan surat perjanjian melibatkan anak-anak syarikat (GLC) dengan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Banyak berlaku perjanjian kontrak dengan pihak tertentu yang tidak berpihak kepada Kerajaan Negeri menyebabkan kerugian jangka panjang. Saya harap Kerajaan Negeri arahkan anak syarikat rujuk Penasihat Undang-Undang Negeri dalam apa jua surat perjanjian pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, terdapat di mana Kerajaan Negeri mengalami kerugian apabila perjanjian kontrak tidak dikuatkuasakan antaranya melibatkan pengurusan hutan lipur di negeri ini.

“PAC juga ingin menasihatkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah supaya mengambil kira kepentingan rakyat mengenai kawasan pembalakan yang dikenal pasti dan jika ada bantahan daripada penduduk setempat, ia wajar dipertimbangkan,” katanya.

Sumber : UMTK