Sasaran Kutipan Zakat RM160 Juta Bahi Tahun 2014

16zakat
ALOR SETAR 16 – Jabatan Zakat Negeri Kedah menyasarkan kutipan zakat kira-kira RM160 juta pada tahun ini berbanding RM123 juta pada tahun 2013 berikutan wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali berkata, pihaknya juga mencapai kenaikan 100 peratus jumlah kutipan zakat menjadikan jumlah terkumpul bagi tempoh Januari sehingga Julai 2014, sebanyak RM80 juta berbanding RM40 juta bagi tempoh yang sama tahun 2013.

“Alhamdulillah, jumlah kutipan zakat menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari semasa ke semasa dan berharap sasaran kita pada tahun ini tercapai bagi tujuan membantu golongan asnaf,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kaunter Zakat Bergerak di Bangunan Jabatan Zakat Negeri Kedah, di sini.

Menurutnya, kaunter zakat bergerak itu yang julung kali diperkenalkan di negeri ini bakal memberi kemudahan kepada masyarakat Islam menunaikan kewajipan masing-masing.

Katanya, kaunter itu bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran zakat harta dan zakat fitrah, malah menjaga pelbagai urusan keprihatinan asnaf termasuk hebahan skim bantuan zakat, penerangan, permohonan bantuan dan semakan penyata zakat.

“Kami merasakan perlu untuk memastikan aktiviti dakwah berkaitan zakat di negeri ini tidak ketinggalan dan seiring dengan cabaran semasa.

“Kaunter bergerak ini lebih berfungsi untuk mengagihkan bantuan berbanding mengutip zakat dan akan pergi ke kawasan pedalaman di seluruh negeri bagi memberi khidmat secara menyeluruh kepada penduduk di luar bandar,” ujarnya.

Sumber:UMTK