Bina Transit Gelandangan

16transit
ALOR SETAR 16 Julai – Kerajaan Negeri merancang menyediakan rumah transit di dua daerah membabitkan Kota Setar dan Langkawi bagi memberi tempat perlindungan sementara kepada golongan gelandangan dan pengemis di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, Kerajaan Negeri mencari premis bersesuaian di bandaraya ini dan Langkawi yang dikenal pasti antara tempat perlindungan sementara kepada golongan sasar itu.

“Kami mengakui di bandaraya ini juga wujudnya golongan gelandangan dan kami memang memerlukan rumah transit ini sebagai tempat tinggal sementara mereka sebelum mereka boleh hidup berdikari dan mencari kerja.

“Selain gelandangan dan pengemis, rumah transit ini juga berperanan menempatkan ibu tunggal dihalau keluar  oleh suami apabila diceraikan, selain remaja bawah umur yang ditahan akibat kesalahan juvana.

“Kami meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan sekiranya mendapat premis bersesuaian, kami akan ubah suai seperti asrama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Tambahnya, kemudahan rumah transit itu akan dilaksanakan secepat mungkin berdasarkan jumlah golongan sasar yang semakin ramai perlu dibantu di negeri ini.
“Gelandangan dan golongan sasar ini akan diberikan tempoh menginap sekurang-kurangnya dua minggu hingga tiga bulan sebelum mereka dibantu mencari pekerjaan dan tempat kediaman lebih selesa.

“Kami juga akan meminta perintah mahkamah supaya tiada mana-mana pihak yang berniat tidak baik boleh mendekati penghuni rumah transit ini bagi menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Sumber:UMTK