ALOR
SETAR 15 Julai – Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan menaiktaraf
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berikutan hospital itu kini telah
mencapai kapasiti yang maksima bagi menampung jumlah pesakit dari daerah
berdekatan.
Menteri
Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, bagaimanapun,
kertas cadangan itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan
untuk kelulusan.
“Sudah
tiba masa HSB diperbesarkan dengan tambahan bangunan baru untuk
menempatkan pesakit. Bagaimanapun, perkara ini perlukan persetujuan
Pusat. Kerajaan Negeri boleh pertimbangkan untuk salurkan bantuan lain
yang diperlukan, termasuk dana,” katanya selepas menyampaikan sumbangan
Ramadan kepada pesakit HSB, di sini.
Menurutnya,
beliau turut berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan yang
diberikan HSB kepada pesakit, selain kagum dengan usaha hospital itu
meningkatkan mutu perkhidmatannya.
“Keperluan
rakyat Kedah adalah keutamaan kita, termasuk isu kesihatan. Kita akan
adakan perbincangan dengan pihak HSB untuk kenal pasti keperluan lain
untuk diberi keutamaan,” ujarnya.
Pada
lawatan itu, Menteri Besar turut mengunjungi kanak-kanak yang mengalami
masalah pertuturan dan komunikasi bawah Projek Rehabilitasi Awal
Melalui Kumpulan Bersepadu Lestari (Preamble Step).
Tambahnya,
HSB kini dilengkapi teknologi terkini untuk mengenal pasti bayi yang
mengalami masalah pendengaran sejak lahir dan mereka boleh mendapatkan
rawatan di pusat berkenaan.
“Sudah
banyak usaha dibuat untuk tingkatkan kemudahan perkhidmatan termasuk
kepada pesakit kanak-kanak. Pusat ini membolehkan rawatan awal dibuat
seawal mungkin dan ia satu usaha yang sangat baik,” katanya.
Turut hadir ialah isteri Menteri Besar, Tok Puan Norzieta Zakaria dan Pengarah HSB, Dato’ Dr. Juita Ghazalie.
Sumber:UMTK