JITRA
15 Julai – Seramai 400 asnaf di negeri ini menerima bantuan Ramadan dan
persediaan Hari Raya Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam Negeri
Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, di sini.
Majlis
penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah,
Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni
Almarhum Sultan Badlishah merangkap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Dalam
pada itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Noh Dahaya
berkata, selain sumbangan wang tunai, golongan berkenaan juga menerima
barangan keperluan seperti beras, beras pulut, minyak masak dan
sebagainya.
“Ini
adalah acara tahunan yang dilakukan di setiap daerah di negeri ini dan
tahun ini, giliran Kubang Pasu menjadi tuan rumah. Bantuan ini
diharapkan dapat meringankan beban golongan berkenaan.
“Selain
itu, sumbangan turut diberikan kepada imam di lima kariah di setiap
daerah di negeri ini. Apa yang kita tekankan, umat Islam sememangnya
digalakkan bersedekah apatah lagi pada bulan Ramadan ini,” ujarnya.
Sementara
itu, seorang penerima, Safiah Abas, 70 tahun berkata, dia bersyukur
kerana dipilih oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah untuk menerima
sumbangan sempena Ramadan tahun ini.
“Alhamdulillah,
sumbangan ini bolehlah makcik buat belanja sikit-sikit untuk hari raya.
Makcik sangat berterima kasih kepada Kerajaan dan Majlis Agama Islam
Negeri Kedah di atas sumbangan ini,” katanya.
Berangkat
sama ialah Toh Puan Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri
DiRaja Puan Sri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.
Sumber:UMTK