Kedah Bangunkan Pusat Kumpul, Edar Barang PKS

20pksMukhriz Tun Dr. Mahathir memasak kuih tradisional Melayu, 'kuih karas' di gerai peserta Amanah Ikhtiar, Endan Hashim (kiri) di Jerlun, Kedah, semalam.

JERLUN 20 Jun - Kerajaan negeri akan membangunkan pusat pengumpulan dan pengedaran barangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sungai Petani dalam masa terdekat bagi membantu meningkatkan perdagangan produk tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, permintaan untuk produk PKS Kedah di negeri lain amat menggalakkan dan kerajaan negeri akan membantu usahawan PKS dari segi logistik bagi memasarkan barangan mereka dengan adanya pusat tersebut.

"Dalam soal produk ini kita tidak ada masalah dari segi pembungkusan kerana ia semakin baik namun usahawan PKS kita adalah masalah untuk memasarkan produk ke negeri lain sebab proses ini memakan belanja yang tinggi.

"Sebab itu saya cadangkan agar diwujudkan satu pusat pengumpulan dan pengedaran barangan PKS di negeri ini bagi membantu ushawasan PKS dari segi logistik dan saya yakin cara ini mampu meluaskan jaringan pemasaran produk negeri Kedah ke negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kelab Usahawan Ikhtiar (Blok Ayer Hitam) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Wisma UMNO Jerlun di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, sebagai permulaan kos untuk tujuan penghantaran barangan PKS itu akan ditanggung oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban para usahawan PKS.

"Kos awal kerajaan negeri akan tanggung dari segi logistik, kemudian kita akan lihat mungkin kita boleh kongsi kosnya bersama usahawan dan saya yakin kosnya tidak terlalu tinggi.

"Kita akan mulakan dengan satu kontena dahulu dan makanan kering dipilih untuk tujuan tersebut kerana kita tidak perlukan kontena yang berhawa dingin jika kita hantar makanan kering ke negeri lain.

"Jika makanan kering ini dipromosi dengan baik, sudah pasti permintaan untuk produk tersebut akan meningkat dan akhirnya usahawan PKS negeri ini akan mampu menguruskan kontena penghantaran mereka sendiri," ujarnya.

Tambah beliau, negeri Johor merupakan negeri pertama yang akan menjalinkan usahasama perdagangan produk PKS itu dengan negeri Kedah.

"Semalam saya sekali lagi berbincang dengan Menteri Besar Johor dan beliau bersetuju untuk mengenalpasti pusat pengumpulan dan pengedaran barangan PKS di negeri tersebut.

"Kalau kita ada gabungan antara dua negeri ini iaitu Kedah dan Johor, setiap minggu ada kontena yang membawa barangan PKS dari dua negeri ini akan bergerak serta mewujudkan hubungan perdagangan antara negeri-negeri," jelasnya.

Sumber: Utusan