Tampung Khidmat Kargo - MUKHRIZ

18kargo

ALOR SETAR – 18 Jun Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kedah, bertujuan menampung keperluan perkhidmatan kargo dan penumpang yang semakin meningkat di negeri-negeri utara tanah air.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan itu dikemukakan selepas melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang kini lebih menjadi tumpuan pelancong dan tidak menjurus kepada perkhidmatan kargo.

“Kemudahan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang juga semakin terhad untuk menampung keperluan pertambahan kargo dan penumpang pada masa depan.

“Kita berpendapat zon utara yang merangkumi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan mungkin bahagian utara Perak memerlukan satu lapangan terbang antarabangsa selain Pulau Pinang yang lebih kepada perkhidmatan kargo industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kedah 2014 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pesta anjuran Persatuan Wanita Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pesta itu diadakan bertujuan mempromosi keunikan budaya dan tradisi negeri itu serta kawasan pelancongan, selain bagi mengumpul dana untuk penubuhan Rumah Kedah di ibu negara.

Cadangan pembinaan lapangan terbang di Kulim dengan keluasan tapak 6,000 hektar itu dikritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkannya satu pembaziran.

Bagaimanapun, Menteri Besar menafikan kritikan Guan Eng sebaliknya menyatakan cadangan pembinaan lapangan terbang itu adalah demi pembangunan dan untuk manfaat seluruh rakyat khususnya di utara tanah air.

“Kalau dulu mereka iaitu pembangkang turut mengatakan pembinaan jambatan Pulau Pinang juga pembaziran, tapi kita lihat sekarang sudah dua jambatan di negeri itu dibina.

“Bagi saya cadangan  DAP untuk membina terowong dasar laut di Pulau Pinang lebih membazir daripada membina sebuah lapangan terbang yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Sumber:UMTK