Kerajaan Negeri Komited Bangunkan Kawasan Luar Bandar

21luarMukhriz Tun Mahathir (kanan) mencuba masakan ala kampung keli bakar dan ulam ketika menghadiri rumah kenduri di Kampung Sungai Limau sempena lawatan kerja Program Mesra Rakyat Peringkat Parlimen Baling, Kedah, semalam. - mingguan/Norlia Ramli

BALING 21 Jun - Kerajaan sedang berusaha untuk menyediakan sebuah hospital pakar di daerah ini bagi kemudahan rakyat mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan peka dengan permasalahan rakyat di luar bandar yang dahagakan pembangunan dan ekonomi yang boleh menjamin kesejahteraan hidup serta masa depan mereka.

"Pesakit terpaksa mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani walaupun terkena patukan ular berbisa kerana tidak mempunyai kepakaran di hospital sedia ada.

"Jadi kerajaan akan berusaha menyediakan hospital pakar kerana pembangunan seperti ini yang diperlukan oleh rakyat malah mereka tidak lagi tergesa-gesa ke hospital di Sungai Petani," katanya ketika mengadakan lawatan kerja Program Mesra Rakyat Peringkat Parlimen Baling selama dua hari bermula hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husain; ADUN Kupang, Harun Aziz dan barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM450,000 untuk membina sebuah jambatan konkrit bagi kemudahan penduduk Kampung Sungai Limau dan Kampung Pekan Lama Pulai dekat sini.

Katanya, jambatan gantung sepanjang 30 meter yang dibina sejak 50 tahun lalu amat membahayakan penduduk terutama kanak-kanak sekolah dan petani kerana ia terlalu uzur.

‘’Dengan peruntukan sebanyak itu dapat membina sebuah jambatan konkrit dan memberi kemudahan kepada penduduk setempat kerana laluan itu adalah laluan mereka untuk ke pekan Baling,’’ katanya.

Menyentuh tentang pertemuannya bersama penduduk kampung yang kebanyakkannya penoreh dan pekebun getah, kata Mukhriz, beliau berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka ekoran kejatuhan harga komoditi tersebut sejak kebelakangan ini.

"Saya telah menerima memorandum daripada Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah) mengenai harga getah yang merudum dan tidak seimbang sehingga mempengaruhi kehidupan golongan ini.

"Saya juga telah memanjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan mempertimbangkan supaya bantuan khas oleh kerajaan itu dapat dimanfaatkan kepada mereka," katanya.

Sumber:Utusan