Pertimbang Kenaikan Elaun Pelajar

14elaun
YAN 14 Mei –  Kerajaan Negeri sedia pertimbangkan cadangan kenaikan elaun pelajar Kedah di Jordan berikutan kenaikan kos sara hidup di negara itu.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan berkenaan masih dalam pertimbangan dan masih belum ada keputusan muktamad.

“Perjumpaan dengan beberapa kumpulan pelajar termasuk di Madinah, Kaherah dan Iskandariah, mereka dalam keadaan baik sahaja serta tiada masalah besar dibangkitkan.

“Namun, hanya di Kaherah dan Iskandariah saja seperti dilaporkan Pemuda UMNO Kedah, pelajar meminta bantuan kenaikan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Ulama dan Umarak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencadangkan supaya bantuan pinjaman Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 untuk satu semester kerana jumlah itu dilihat mampu sedikit sebanyak menyelesaikan masalah kewangan dan kenaikan harga yuran pengajian.

Menurutnya, Pusat Zakat Negeri Kedah (PZNK) juga diharapkan mengambil langkah sama dan status pinjaman pelajar perlu ditukar kepada biasiswa sekiranya mereka memperoleh keputusan cemerlang.

Menteri Besar berkata, kunjungan beliau ke Kaherah juga untuk merasmikan Asrama Darul Aman 1 yang dinaiktarafkan semula dengan kos RM2.6 juta berikutan bangunan asal sudah uzur.

“Penambahbaikan itu juga menjadikan asrama berkenaan antara asrama yang tercantik dengan prasarana lengkap termasuk kemudahan 86 katil. Kedah mempunyai tiga asrama untuk kediaman pelajar,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, perbincangan dengan Presiden Universiti Iskandariah turut diadakan bagi mewujudkan satu program khusus untuk pelajar negeri ini menyambung ijazah lanjutan dalam bidang pengkhususan tertentu.

“Cadangan ini baik tetapi perlu diperhalusi kerana doktor awam sudah ramai, yang kita perlukan doktor pakar dalam bidang perubatan tertentu dan universiti berkenaan menawarkan program khusus bagi memenuhi permintaan.

“Kita juga memohon universiti berkenaan menghantar seorang profesor dalam masa terdekat kerana turut menjalinkan kerjasama dengan Kolej Universiti Insaniah bagi memulakan program serta menggubal silibus bersesuaian,” katanya.

Tambahnya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar di Kaherah dan Iskandariah juga turut menunjukkan penurunan dan terpaksa menubuhkan markas bahasa khususnya di Kaherah untuk membantu pelajar di sana supaya fasih dan lebih menguasai dalam bahasa berkenaan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Noh Dahya.

Sumber: UMTK