Jaga Kesucian Masjid

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
12masjidMukhriz Mahathir

JERAI 12 Mei - Bagi menjaga kesucian ibadah dan masjid, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr.Mahathir menegur sikap segelintir ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang masih membenarkan mimbar menjadi medan menabur fitnah setiap kali berlangsungnya khutbah Jumaat.

Meskipun jumlahnya tidak banyak, beliau berkata, tindakan itu dikhuatiri membawa perbalahan dalam kalangan umat Islam selain mendatangkan rasa tidak selesa kepada mereka yang benar-benar hadir ke masjid untuk beribadat.

Katanya, pernah berlaku insiden jemaah bertindak merampas mikrofon ketika khatib memberi khutbah kerana tidak berpuas hati dengan kandungan yang disampaikan.

"Pernah laporan diterima mengatakan antara intipati khutbah itu mengatakan kerajaan harus ditukar kerana bertindak zalim terhadap rakyat. Kha­tib itu turut mendakwa, contoh kezaliman kerajaan adalah dengan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas rakyat.

"Tentunya dakwaan sebegitu tidak sesuai kerana bagi saya, khutbah seharusnya diisi de­ngan unsur-unsur yang memupuk perpaduan sesama Islam dan bukannya memecah belah," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Imam, Guru Takmir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Datuk Noh Dahya.

Tambah Mukhriz, ketika ini, dilaporkan tidak sampai 10 masjid yang membenarkan khatibnya bertindak demikian di seluruh negeri ini.

"Ada yang mendakwa, khatib itu bukan imam di masjid berkenaan sebaliknya dijemput dari tempat lain. Walaupun begitu, bagi saya, ahli jawatankuasa masjid tetap perlu berhati-hati dan bertanggungjawab ke­rana tindakan sedemikian memberi kesan kepada masyarakat," katanya.

Diminta mengulas kunjungan ke Mesir setelah mengerjakan umrah baru-baru ini, katanya, beliau berkesempatan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia terutamanya dari negeri ini serta pihak pengurusan universiti sekitar Madinah, Kaherah dan Iskandariah.

"Dalam pertemuan dengan pihak pentadbiran universiti, mereka membangkitkan kualiti pelajar di sana. Keputusan para pelajar di tanah air dalam peperiksaan utama tidak dinafikan sememangnya cemerlang.

“Namun penguasaan bahasa Arab mereka didapati menurun berbanding 'abang dan kakak' mereka sebelum ini mengakibatkan mereka terpaksa mengikuti kelas tambah­an. Mungkin ada perkara yang  boleh kita perbaiki di sini," ujarnya.

Sumber: Utusan