Pembinaan Litar Lumba Di Kedah Bakal Jadi Realiti

6litar

ALOR SETAR 6 Mei – Kerajaan Negeri mengenal pasti dua lokasi di Sungai Petani yang diyakini sesuai untuk pembinaan litar lumba.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dalam sedikit masa lagi.

“Kita sekarang sedang bergerak mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan litar lumba terbabit dan Menteri Besar sendiri mengarahkan saya serta beberapa jawatankuasa lain untuk melihat tempat itu.

“Kita kenal pasti dua lokasi di Sungai Petani dan akan membuat pembentangan kepada Menteri Besar untuk meluluskan tempat terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (Silat Olahraga) Peringkat Negeri Kedah dan Penyerahan Bendera Kejohanan di Dewan Kombat, Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

Beliau menjelaskan, keputusan mengenai litar lumba itu akan diumumkan Menteri Besar Kedah.

“Sekiranya cadangan yang kita bentangkan dipersetujui, Menteri Besar sendiri akan mengumumkan tempat pembinaan litar lumba terbabit dan bagaimana litar lumba itu akan dibina,” katanya.

Tambahnya, pembinaan litar lumba terbabit tidak akan mengambil masa lama kerana pembinaannya bukan seperti litar di Sepang, tetapi lebih kepada tapak asas untuk perlumbaan kenderaan dua tayar.

Sumber: UMTK