Penyerahan Model Pengurusan Estet Padi (EMM)

5emm

SUNGAI PETANI  5 Mei –  Bekalan beras Kedah untuk menampung permintaan negara semakin menurun dan trend itu amat membimbangkan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata,  walaupun dikenali sebagai negeri Jelapang Padi, tetapi pengeluaran hasil padi Kedah tidak lagi seperti dahulu.

Katanya, ia mungkin disebabkan kekurangan hasil pengeluaran padi atau jumlah penduduk yang semakin ramai sehingga permintaan semakin meningkat.

“Dulu kita boleh membekalkan 70 peratus beras kepada permintaan negara. Tetapi ia semakin menurun kepada 43 peratus dan terkini hanya tinggal 30 peratus.

“Ini satu fenomena yang agak membimbangkan. Jika tidak diberi perhatian, mungkin bekalan beras kita akan terus merosot,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pengurusan Estetdi Perkarangan Masjid Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, di sini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa mengimport beras dari luar, khususnya dari negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja.

“Tetapi, seboleh-bolehnya kita nak pastikan tanah bendang di Kedah dapat mengeluarkan hasil padi yang optimum dan kalau boleh maksimum.

“Dengan pendekatan ini, barulah kita dapat meningkatkan hasilnya. Sekaligus dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani,” katanya.

Pada program itu, Menteri Besar turut menyasarkan purata pengeluaran hasil padi meningkat kepada enam tan metrik per hektar pada tahun 2016.

“Sebelum ini, kekurangan kemudahan infrastruktur asas serta kaedah pengurusan secara individu menyebabkan purata hasil padi terutama di kawasan Kuala Muda Selatan berada pada tahap tiga tan metrik per hektar.

“Tetapi, selepas pelaksanaan Program Pengurusan Estet Padi, saya yakin hasil pengeluaran padi akan bertambah berbanding sebelumnya,” katanya.

Sumber:UMTK