Atlet Kedah Komited Capai Sasaran Pingat - SUKMA 2014

6atlet

ALOR SETAR 6 Mei – Atlet yang bakal mewakili Kedah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014 nanti diharapkan sentiasa komited dalam memenuhi sasaran pingat yang ditetapkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, sasaran 50 pingat emas itu dibuat berdasarkan kepercayaan dan usaha yang ditonjolkan atlet.

“Walaupun sasaran agak tinggi tetapi kita akan berusaha ke arah itu untuk mencapai matlamat Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

“Kita faham ia bukan perkara mudah tetapi kita perlu komitmen daripada keseluruhan kontinjen sukan yang mewakili Kedah nanti untuk memberi kerjasama, semangat fizikal dan mental untuk mengutip pingat emas yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (Silat Olahraga) Peringkat Negeri Kedah dan Penyerahan Bendera Kejohanan di Dewan Kombat, Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

Menurutnya, pada SUKMA Perlis 2014 itu, Kedah hanya akan terlibat dalam 23 acara daripada 24 acara yang dipertandingkan.

“Hanya satu acara yang kita tidak hantar wakil iaitu hoki lelaki. Kita perlu mengembleng tenaga melatih atlet yang ada untuk memastikan kita berjaya memperoleh pingat emas yang banyak,” katanya.

Sumber: UMTK