YAN 14 Mei – Kerajaan Negeri berusaha memperkasakan institusi pondok dengan mengambil langkah meletakkan sekolah agama, sekolah pondok dan sekolah tahfiz ke satu tahap yang lebih baik melalui kerjasama Kementerian Pendidikan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri
Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, antara
langkah yang diambil termasuk mengeluarkan bantuan untuk tenaga pengajar
sekolah pondok.
Menurutnya,
kerjasama itu juga bagi memastikan semakin ramai lepasan pondok di
negeri ini mencipta nama di persada dunia, mengharumkan nama negeri dan
negara dengan ilmu agama serta kemahiran yang dimiliki.
“Kita
berhasrat melihat pelajar institusi pondok bukan sahaja cemerlang dalam
ilmu agama tetapi juga memiliki ilmu akademik dan kemahiran supaya
mereka dapat menyumbang kepada pembangunan ummah serta negeri.
“Sayang
sekali jika aliran pengajian agama ini dibiarkan tanpa pembelaan,
dipinggirkan tanpa usaha untuk memartabatkan kedudukannya sebagai
institusi pengajian agama yang penting bagi umat Islam di negeri ini,”
katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan Dewan Shahidat Sempena
Majlis Ihtifal 73 Tahun di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah
Al-Halimiah, Padang Lumat, di sini.
Beliau
menjelaskan, ramai lepasan pondok yang boleh diteladani, masing-masing
tersohor dan disegani di peringkat dunia antaranya bekas Menteri Luar
Thailand, Dr Surin Pitsuwan yang berasal dari pondok serta berjaya
melangkah ke Universiti Oxford.
“Sekolah
ini lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya pernah melalui peristiwa
tragis pada 22 September 1989, apabila berlaku kebakaran di asrama
puteri hingga mengorbankan 27 shahidat. Di atas tapak ini terbinanya
Dewan Shahidat.
“Ramai
tokoh mencurah bakti di sini termasuk bekas pengetua merangkap Ahli
Majlis Fatwa Negeri Jawatankuasa Zakat iaitu Yahaya Junid dan seorang
ulama yang fasih berbahasa Arab, Urdu dan Inggeris iaitu Azhari Abdul
Razak,” katanya.
Sumber: UMTK