Laksana Tugas Sebaik Mungkin

5kuari

ALOR SETAR 3 Mei - Semua kontraktor kerja pembersihan awam dinasihatkan melaksanakan tugas dengan baik demi mencapai sifar aduan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. telah melaksanakan Manual Operasi kepada kontraktor di bawahnya dalam mewujudkan keseragaman ketika melakukan kerja pembersihan awam.

Menurutnya, kontraktor terlibat perlu menjadikan Manual Operasi tersebut sebagai rujukan dan panduan untuk memastikan jaminan dari aspek keselamatan dan kelancaran tugas harian.

"Pemeriksaan dilakukan setiap hari kepada kontraktor terlibat untuk pastikan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan dan hal ini dipandang serius kerana kita sememangnya menitikberatkan me­ngenai kebersihan.

"Tindakan memberikan kawasan di bawah seliaan kontraktor tersebut kepada pihak lain boleh diambil sekiranya terdapat kontraktor yang gagal mematuhi Manual Operasi ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Taklimat Manual Operasi di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Ir. Sanusi Awi dan Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman, Mhd. Saiful Khairul Anuar Zainal.

Menurut beliau, di negeri ini terdapat 56 kontraktor terlibat dalam menjalankan kerja pembersihan termasuklah pembersihan longkang, kitar semula dan pengurusan sampah pukal.

Badrul Hisham berkata, kontraktor tersebut juga boleh dikenakan penalti sebelum tindakan diambil terhadap mereka.

Menurutnya, kontraktor perlu sentiasa melaksanakan tugas dengan baik dan tidak berada dalam zon selesa bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.

"Kita juga melantik kontraktor simpanan bagi menggantikan kontraktor yang dikenakan tindakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Badrul Hisham turut memberitahu, kerajaan negeri kini menerima maklum balas yang baik daripada rakyat berhubung masalah kebersihan.

Ujar beliau, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk mencapai sifar aduan mengenai sampah oleh rakyat.

"Sekarang kita telah mencapai penurunan sebanyak 20 peratus berhubung aduan sampah dan kita yakin dengan kerjasama oleh semua pihak termasuk rakyat masalah mengenai sampah ini dapat diselesaikan," katanya.

Sumber: Utusan