AIU Tidak Henti Operasi - MB

30aiu

ALOR SETAR 30 April – Kerajaan Negeri gembira apabila pengurusan Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) menarik balik hasrat untuk menghentikan operasinya.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya menyambut baik keputusan AiU yang mempertimbang semula keputusan yang dibuat sebelum ini, yang didakwa akan ditutup pada Jun 2014.

“Saya fikir kita harus mengambil masa ini untuk menilai semula perancangan mereka sama ada kondusif dengan perancangan Kerajaan Negeri, terutama dalam aspek pendidikan,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja Kerajaan Negeri mempunyai aspirasi untuk membangunkan pendidikan tinggi di Kedah, bahkan Kerajaan Persekutuan turut mempunyai hasrat sama dalam membangunkan sektor pendidikan.

“Universiti sedia ada sama ada swasta mahupun awam perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu memenuhi matlamat Kerajaan Negeri, antaranya, menjadikan Alor Setar sebagai hab pendidikan, terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang usaha atau cadangan awal berkaitan penutupan mana-mana universiti adalah tidak selari dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini.

“Jika ianya (penutupan) berlaku, ia tidak dapat membantu usaha Kerajaan Negeri untuk capai sasaran itu,” katanya.

Sumber: UMTK