MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
ALOR
SETAR 4 Mei - Tiada orang dalam terlibat dengan sindiket penjualan
sijil nikah poligami yang dikesan aktif di sekitar Kuala Kedah sejak
beberapa tahun lalu.
Pengarah
Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Datuk Noh Dahya berkata, ia
berdasarkan siasatan awal yang dijalankan terhadap Pejabat Agama Daerah
Kota Setar.
Beliau
berkata, sijil nikah poligami yang dihasilkan itu juga palsu. “Kita
buat siasatan di peringkat pejabat agama dan yakin orang dalam tidak
terlibat.
“Kita percaya individu terbabit sengaja memalsukan maklumat untuk tujuan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, beliau masih menantikan beberapa pasangan lagi untuk tampil membantu siasatan.
“Dalam rekod kita ada lebih 60 pasangan yang dipercayai terlibat dengan sindiket nikah poligami,tetapi baru satu pasangan tampil membantu siasatan.
“Kita sudah panggil mereka untuk membantu tetapi masih belum berbuat demikian,” katanya.
Noh berkata, tindakan akan diambil terhadap individu berkenaan selepas kertas siasatan kes itu lengkap sepenuhnya.
Sebelum
ini, Sinar Harian mendedahkan khidmat sindiket nikah poligami ekspres
yang menyediakan pakej lengkap termasuk sijil nikah menyerupai Jaik
boleh dilakukan tanpa kehadiran wali.
Sindiket
berkenaan dipercayai bergerak aktif sejak beberapa tahun lalu dengan
mengenakan bayaran serendah RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan
hangat mereka yang mahu berpoligami secara rahsia.
Sumber: Sinar