Kedah Segerakan Pembinaan 1,000 Rumah Penjawat Awam

4rumah

JITRA 4 Mei – Penjawat awam di negeri ini berpeluang memiliki rumah sendiri selepas Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik di atas tanah Kerajaan Negeri di Bukit Pinang, dekat sini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, rumah tersebut dibina untuk kakitangan awam khususnya gred N17.

“Kita bersedia pada bila-bila masa untuk melaksanakan projek ini dan untuk permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Bukit Pinang.

“Bukit Pinang ini lokasinya tidak jauh dari Alor Setar dan walaupun projek ini akan mengambil sedikit masa, saya yakin ia tidak akan memakan masa yang terlalu panjang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 yang bertemakan ‘Penjawat Awam Tiang Seri Negara’ di Dewan Wawasan, di sini.

Menurutnya, sebanyak 1,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina di tanah yang berkeluasan 40 hektar.

“Ada juga rumah untuk kakitangan gred lain yang akan dibina, namun kita berikan fokus kepada kakitangan awam gred N17 terlebih dahulu,” katanya.

Menteri Besar menyuarakan cadangan pembinaan rumah untuk penjawat awam negeri ini ketika lawatan Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ke Alor Setar, baru-baru ini.

Sumber: UMTK