Kedah Organik

5organik

ALOR SETAR 5 Mei – Kedah Organik yang merupakan syarikat milik Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk membantu dalam menyediakan tanah, teknologi, kaedah tanaman sehingga kepada penjenamaan dan pemasaran.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan petani-petani kecil mengambil langkah berkongsi tanah dengan petani-petani lain untuk melaksanakan tanaman organik.

“Hasilnya amat berbaloi. Kita akan bimbing mereka  daripada awal sehingga berjaya membuat pasaran.

Perniagaan organik  berbeza dengan perniagaan pertanian bukan organik. Organik dihasilkan menerusi permintaan dan kita tidak mahu berlaku longgokan dalam perniagaan organik melibatkan kos yang agak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Produk Kedah Organik di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah menerusi Kedah Organik bersedia membantu petani-petani kecil meraih pendapatan lumayan sekiranya mereka memilih untuk melibatkan diri secara serius dalam industri pertanian berteraskan organik.

“Setakat ini, hanya satu syarikat di Kedah yang menghasilkan tanaman organik secara besar-besaran iaitu MK Orchard bertempat di Kampung Padang Asun di Jitra,” katanya.

Tambahnya, MK Orchard ketika ini memiliki tanah seluas 60 hektar dengan lebih 20,000 tanaman daripada lebih 33 jenis pokok buah-buahan dan dijangka keluasan tanaman itu akan diperluaskan kepada 121 hektar ekoran terdapat petani di kawasan berdekatan bersedia berkongsi tanaman.

“Bagi mereka yang mempunyai kawasan tanaman padi juga boleh digunakan untuk tanaman produk organik. Kita berbesar hati untuk membantu petani-petani kecil meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Sumber:UMTK