GST Demi Mantapkan Negara - PM

4gst

JITRA 4 Mei -  Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah Kerajaan untuk memantapkan hasil demi menjamin masa depan negara dan kebajikan rakyat.

Beliau turut menyeru rakyat supaya berfikir secara rasional dan bukan mengikut perasaan berhubung pelaksanaan GST walaupun ada pihak membuat bantahan mengenainya di ibu negara.

Katanya, GST adalah keperluan supaya negara tidak berdepan himpitan ekonomi pada masa depan yang akhirnya mengundang kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

“Proses ini mesti kita teruskan kerana kalau kita tidak buat perubahan, maka kita akan berdepan himpitan kepada ekonomi yang akhirnya boleh membawa kesusahan dan penderitaan kepada rakyat.

“Sebab itu, GST akan dapatkan hasil yang mantap untuk Kerajaan. Saya minta kepada semua supaya memahami akan ‘nawaitu’ (niat) Kerajaan. ‘Nawaitu’ Kerajaan adalah untuk melakukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 yang bertemakan ‘Penjawat Awam Tiang Seri Negara’ di Dewan Wawasan, di sini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, langkah memperkenalkan GST yang dijangka dilaksanakan pada April 2015 juga bertujuan mengupayakan kemampuan kewangan Kerajaan agar lebih kukuh, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebagai Kerajaan, kita perlu lakukan kedua-duanya. Kita perlu sebuah ekonomi yang ada kemampuan Kerajaan, keyakinan dunia kepada kita bertambah dan ekonomi kukuh berkembang. Kita perlukan pasaran modal yang lebih memberangsangkan, kalau ini terjadi penambahan pelaburan akan berlaku.

“Saya percaya kalau kita fikir rasional, kita faham setiap dasar yang Kerajaan buat bertujuan untuk kebaikan rakyat. Jangan lihat dalam tempoh sehari dua. Inilah pertimbangan yang harus ada pada kita,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan tidak menjanjikan sesuatu perkara yang tidak mungkin dapat ditunaikan semata-mata untuk meraih sokongan atau populariti tanpa memikirkan kemudaratan.

“Bila nak buat sesuatu, kita timbang dengan teliti dan gunakan pertimbangan dengan adil. Kalaulah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hendak elaun diperbaiki, gaji ditambah, maknanya kita perlu kepada hasil bertambah. Dari mana nak mencari dananya kalau tak ada hasil untuk nak biaya pertimbangan ini,” katanya.

Menurutnya, pertimbangan seumpama itu oleh Kerajaan telah membawa kejayaan kepada negara walaupun dunia kini berhadapan krisis ekonomi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden CUEPACS, Azih Muda.

Sumber: UMTK