Bekalan Air Sawah Fasa Kedua - MADA

6mada

ALOR SETAR 6 Mei – Walaupun negara ini dilanda musim kemarau, jadual penanaman padi bagi musim 1/2014 di Kedah tidak terjejas dan mengikut musim ditetapkan kerana tiga empangan utama di negeri ini masih berupaya membekalkan air secukupnya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), YB. Dato’ Othman Aziz berkata, bekalan air untuk tanaman padi musim ini sudah mula disalurkan mengikut jadual ditetapkan membabitkan beberapa fasa sejak 26 Mac 2014.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam  berkata,  penyaluran air untuk tanaman padi di kawasan MADA sudah masuk fasa kedua dan sesetengah petani sudah mula membajak dan menabur benih padi.

“Kita turut memberi tempoh akhir bagi petani menabur benih padi untuk fasa pertama, jadi kita harap petani dalam kawasan MADA dapat mengikut jadual ditetapkan supaya tidak timbul sebarang masalah.

“Setakat ini, penyaluran air ke kawasan padi MADA tiada sebarang masalah dan proses berkenaan berjalan lancar kerana tiga empangan utama di negeri ini masih berupaya membekalkan air secukupnya walaupun mengalami sedikit penyusutan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jalinan Tani Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Hari Bertemu Pelanggan Wilayah IV MADA di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Suka Setia, Simpang Empat Kangkong, di sini.

Menurutnya, bekalan air turut  disalurkan ke kawasan penanaman padi seluas 90,234 hektar membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama pada 26 Mac 2014 membabitkan kawasan seluas 32,891 hektar, fasa kedua pada 9 April 2014 (38,140 hektar) dan fasa ketiga pada 23 April (19,203 hektar).

Pada majlis itu, petani kawasan berkenaan turut menerima insentif berjumlah RM299,114.

Sumber: UMTK