Tindakan Jejas Usaha Jadikan Alor Setar Hab Pendidikan

23hab
ALOR SETAR 23 April –  Kerajaan Negeri mengakui tindakan pengurusan Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) menutup operasinya pada Jun ini, boleh menjejaskan usaha Kedah untuk menjadikan Alor Setar sebagai hab pendidikan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun AiU bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, penubuhannya di Kedah ternyata membantu usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Alor Setar sebagai bandaraya metropolis, terutama dalam bidang pendidikan.

Justeru, beliau berharap pihak pengurusan AiU dapat menangguhkan penutupan universiti itu jika permintaan Kerajaan Negeri agar keputusan menutup institusi berkenaan ditarik balik, tidak mampu ditunaikan.

“Walaupun kita boleh usahakan untuk ganti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain, ia ambil masa dan sebolehnya yang sedia ada dikekalkan.

“Saya sebenarnya masih menaruh harapan. Jika AiU tidak boleh tarik balik keputusan itu, sekurang-kurangnya boleh tangguhkan. Jadi, pelajar dan tenaga pengajar dapat bersiap sedia.

“Mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun untuk urusan perpindahan dan sebagainya. Itu harapan saya tapi saya tak tahu apa keputusan dibuat pihak universiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum Peringkat Negeri Kedah 2014 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Sebelum ini, AiU dikhabarkan akan menutup operasinya, malah difahamkan pengumuman juga sudah dibuat kepada 630 pelajar dan lebih 100 tenaga pengajar pada awal Februari 2014. Selain itu, Menteri Besar berkata, penutupan AiU juga satu kerugian bagi Kedah dalam usaha memantapkan bidang pendidikan di negeri ini seperti dijanjikan dalam manifesto Kerajaan Negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 sebelum ini.

Katanya, keputusan AiU menutup operasinya secara mengejut tidak wajar berikutan tempoh lebih lama sepatutnya diberikan pihak pengurusan bagi memudahkan proses perpindahan pelajar ke IPT lain selaras peraturan ditetapkan Kementerian Pendidikan.

“Semua universiti mesti mematuhi syarat Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan. Saya tak lihat sebarang keistimewaan dinikmati mana-mana pihak (pihak pengurusan AiU) berbanding pihak lain,” katanya.

Ditanya desas-desus bahawa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) akan mengambil alih Kolej AiU yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak itu, Menteri Besar bagaimanapun berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

Sumber:UMTK