Masalah Pelajar Di Jordan Bakal Selesai

22jordan

ALOR SETAR 22 April - Pemuda UMNO negeri yakin beberapa masalah yang dihadapi para pelajar dari negeri itu di Jordan dapat di­atasi sepenuhnya setelah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan komitmen untuk memberi perhatian terhadap isu berkenaan.

Ketuanya, Datuk Shaiful Ha­zi­zy Zainol Abidin berkata, komitmen itu dinyatakan Mukhriz kepadanya sebaik beliau selesai membentangkan hasil lawatan­nya ke Jordan baru-baru ini dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri Ahad lalu.

"Antara komitmen dinyatakan Menteri Besar adalah beliau akan berunding dengan Yayasan Islam Kedah tentang beberapa perkara yang dicadangkan termasuk kenaikan bantuan pinjaman yayasan itu daripada RM5,000 kepada RM8,000 untuk satu semester.

"Selain itu, kami juga mencadangkan agar dermasiswa yang diterima daripada Pusat Zakat Negeri turut dinaikkan kepada RM8,000 daripada hanya RM6,500 ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 16 April lalu, Shaiful Hazizy bersama Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berangkat ke Jordan untuk mendalami masalah 370 pelajar yang berasal dari Kedah di sana setelah menerima pelbagai aduan tentang bebanan ditanggung terutamanya berhubung kenaikan yuran pengajian sehingga melebihi 100 peratus.

Selain itu, para pelajar berkenaan turut mengadu seringkali lambat menerima wang pinjaman tersebut, di samping berdepan isu keselamatan iaitu pencabulan seksual kerap kali berlaku serta layanan 'double standard' oleh pihak berkuasa di negara itu.

Beliau menambah, antara cadangan lain dikemukakan adalah menukar status daripada pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berkenaan memperoleh keputusan cemerlang.

"Kami turut memohon agar caj perkhidmatan diturunkan kepada dua peratus berbanding empat pera­tus kini, selain memohon Yayasan Islam untuk menanggung tiket pe­nerbangan pelajar yang baru memulakan pengajian serta sudah tamat pengajian.

"Baucar buku khas seperti Baucar Buku 1Malaysia turut dicadang­kan bagi membolehkan mereka memperoleh buku secara percuma seperti dinikmati pelajar-pelajar di universiti tempatan," ujarnya.

Tidak terhenti di situ kata beliau, pihaknya turut meminta yayasan tersebut mewujudkan sekretariat khas atau penyelia tetap di Jordan bagi membantu pelajar yang berdepan dengan isu kesela­ma­tan.

"Kami difahamkan sekretariat tersebut sudah pun diwujudkan di Mesir dan adalah sesuatu yang baik jika turut diadakan di Jordan memandangkan jumlah pelajar yang berasal dari Kedah di sana agak ramai," katanya.

Sumber:Utusan