Tiada Kompromi Isu Penyelewengan Akidah

2akidah

ALOR SETAR 2 April – Beberapa sekolah termasuk sebuah tadika yang didakwa ada kaitan dengan fahaman Syiah kini dalam pengawasan Jabatan Mufti Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, tenaga pengajar terlibat yang didakwa menganut fahaman itu turut diberi kaunseling dan diberi amaran keras supaya tidak menyebarkan fahaman itu kepada pelajar.

“Kita tidak berkompromi dalam isu ini kerana ia penyelewengan akidah. Semua guru yang didakwa terlibat sama ada di sekolah awam atau kerajaan, kini dalam pemantauan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis  perasmian Projek Usahasama KUIN, Jabatan Mufti Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah serta Seminar Membanteras Penularan Syiah di Kedah di Dewan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, KUIN, di sini.

Menurutnya, walaupun terpencil dan hanya melibatkan segelintir tenaga pengajar, perkara ini serius dan perlu dibendung.

“Jika tenaga pengajar pengamal Syiah dan masyarakat melihat ia sebagai ajaran Islam yang berselindung di sebalik ajaran Sunnah Wal Jamaah, ia amat membahayakan akidah terutama pelajar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti dua tenaga pengajar yang aktif dalam aktiviti Syiah dan isu itu ditangani secara berhemah, mengikut lunas perundangan sedia ada.

Sumber:UMTK