Isu Harga Getah - Yb Dato' Ku Abdul Rahman

2getah

ALOR SETAR 2 April-  Kerajaan Negeri Kedah akan berusaha menangani kemelut harga getah yang makin menurun dengan mengetengahkannya kepada Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, Kerajaan Negeri sudah mengadakan dialog dengan rakyat, terutama penoreh bagi menjelaskan perkara sebenar.

Beliau berkata, Kerajaan prihatin dengan masalah rakyat dan mengadakan majlis penerangan harga getah bersama penduduk di Baling pada 27 Mac 2014.

“Maklum balas itu akan disalurkan kepada Kerajaan Pusat untuk tindakan lanjut. Kerajaan Negeri tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan subsidi dan kewangan kerana ia dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, kita menggunakan alternatif lain dengan mewujudkan program latihan berkaitan pertanian agar pekebun kecil atau penoreh getah mempunyai pendapatan sampingan tanpa bergantung kepada getah sahaja,” katanya.

Sebelum ini, resolusi berkaitan masalah getah dicadang diwujudkan di peringkat negeri untuk membantu penoreh meringankan beban sara hidup sebelum diketengahkan ke peringkat pusat.

Ahli Lembaga Pengarah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), YB. Dato’ Azmi Che Hussein berkata, ia perlu dilakukan kerana Kedah antara negeri yang ramai penduduknya bekerja sebagai penoreh getah, terutama di kawasan luar bandar.

Untuk itu, YB. Dato’ Azmi Che Hussein meminta agar Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk  Mohd Tajudin Abdullah segera memberi fokus kepada isu itu bagi menangani kemelut berkenaan.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, cadangan turut diberikan kepada Lembaga Getah Malaysia supaya pengagihan bantuan dilakukan secara seimbang, termasuk untuk penoreh getah.

“Dulu, kita pernah memberi bantuan sebanyak RM500 apabila situasi begini berlaku. Namun, ia mempunyai sedikit kelemahan apabila hanya pekebun kecil yang berdaftar diberi bantuan, manakala penoreh getah tidak menerimanya.

“Jadi, saya meminta Lembaga Getah Malaysia mencari jalan untuk membantu kedua-dua kumpulan ini. Saya yakin, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah ada perancangan untuk membantu rakyat,” katanya.

Sumber:UMTK