ALOR
SETAR 1 April – Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM150,000 untuk
Ekspedisi ke Greenland sebagai sokongan terhadap usaha badan bukan
kerajaan (NGO) membuka ruang untuk belia dalam bidang sukan lasak.
Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta
Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, ia akan turut
disertai seorang anak muda dari Kedah yang bakal menjadi inspirasi
kepada golongan belia di negeri ini.
“Kerajaan
Negeri sentiasa menggalakkan anak muda menyertai aktiviti sukan seperti
ini yang boleh melahirkan ikon negara khususnya anak muda dari Kedah
apabila ekspedisi itu berjaya kelak.
“Contohnya
seperti penjelajahan ke Greenland, tak semua orang boleh pergi ke sana
tetapi hanya individu tertentu yang mempunyai kecekalan mampu
menjayakannya,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan
kepada ketua ekspedisi itu di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya,
Kerajaan Negeri turut memberi sokongan moral kepada mereka yang
terlibat termasuk keluarga berikutan seorang daripada lapan peserta
adalah anak Kedah.
Sehubungan
itu, katanya, golongan belia di negeri ini disaran mendaftar diri dalam
persatuan untuk melakarkan nama di persada Negara.
“Kalau
ada lagi individu yang yakin dengan kemampuan masing-masing, sertailah
mana-mana persatuan yang ada dalam negeri kita atau negara untuk
sama-sama menonjolkan diri.
“Hari ini kita tidak perlu lagi berada dalam kepompong sendiri tetapi menonjol diri kepada masyarakat dunia,” katanya.
Ekspedisi
anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua akan bermula pada 25 April 2014
dan berakhir pada 22 Mei 2014 dengan lapan peserta yang layak dan lulus
ujian kecerdasan serta teknik kelangsungan hidup diadakan pada Februari
2014. Ia dikendalikan oleh Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Sumber:UMTK