Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care

15kembara
PENDANG 15 April –  Kerajaan Negeri menyasarkan penglibatan seramai 600 orang sukarelawan dalam program khidmat bantu di rumah sempena Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, sejak tahun 2013, seramai 150 orang sukarelawan telah bergiat aktif dalam program tersebut.

“Saya menyeru supaya lebih ramai sukarelawan di Kedah melibatkan diri dalam program seperti ini.

Kita tahu ramai sukarelawan di negeri ini, tetapi mereka tidak tertumpu kepada program ini.

“Jadi, mereka perlu mendaftarkan diri di mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan supaya membolehkan mereka menyertai program khidmat bantu di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care Peringkat Negeri Kedah di Kampung Desa Keda Asam Jawa, di sini.

Menurutnya, program tersebut adalah melibatkan penjagaan orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.

“Trend sekarang adalah kita nak orang muda boleh membantu orang yang sudah berumur. Dulu kita ada program cuci dan bersih rumah orang, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi. Maka, kita nak wujudkan semula program seperti itu,” katanya.

Tambahnya, program tersebut adalah merupakan satu langkah awal bagi menyedarkan masyarakat betapa mereka perlu berkongsi rasa atas penderitaan dan kesusahan orang lain.

“Adalah diharapkan agar program seperti ini bukan sahaja dapat melahirkan warga masyarakat yang prihatin terhadap sifat kebajikan dan kesukarelaan, tetapi juga bersiap sedia untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.

“Amalan kerja-kerja sukarela khasnya dalam hal-hal kebajikan adalah digalakkan dan dianjurkan semua agama. Dalam Islam sendiri juga banyak ayat Al-Quran yang menekankan mengenai perkara itu,” katanya.

Sumber:UMTK