RTC Tawar Harga Barang Lebih Murah

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
25rtcNajib (kanan) menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran RTC Napoh, semalam.

JITRA 25 April - Konsep Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang diperkenalkan kerajaan mampu mengatasi isu kenaikan harga barang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dapat dibuktikan menerusi kejayaan penubuhan beberapa RTC di seluruh negara yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat.

“Penubuhan RTC ini sebenarnya mampu meningkatkan taraf hidup rakyat dan memudahkan segala urusan masyarakat di luar bandar berkaitan kerajaan mahupun swasta.

“Buktinya kita tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk setempat berkaitan harga barang sebab mereka boleh beli barang keperluan di RTC dengan harga lebih murah berbanding di tempat lain,” katanya pada ucapan perasmian Majlis Pelancaran RTC Napoh, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak diperkenalkan konsep RTC di negara ini, RTC Kelantan telah menunjukkan impak yang amat memberangsangkan dengan nilai jualan melebih RM214.9 juta dengan bilangan pengunjung melebihi 1.2 juta orang.

“Sehingga kini, seramai 634 peniaga dan usahawan tempatan telah beroperasi di RTC Kelantan berbanding 378 orang pada akhir 2011,” katanya.

Najib berkata, RTC Napoh juga mampu mencipta kejayaan seperti Kelantan berikutan kedudukan lokasinya berada di sempadan negara jiran dan berdekatan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Saya fikir RTC Napoh juga boleh berjaya seperti Kelantan sebab ia terletak di kawasan yang strategik, di tepi laluan utama.

“Maknanya kita akan ada pembeli tambahan daripada penduduk setempat dan pelancong yang keluar masuk ke negara jiran,” katanya.

Sumber:Sinar